Sunday, June 21, 2009

Peranan Serta Sumbangan MARDEC Di Malaysia




Apabila tanaman getah dibawa masuk ke Tanah Melayu, seratus sembilan tahun dahulu, getah mula ditanam secara meluas di seluruh negara. Tanaman ini mula menjadi sumber pendapatan utama negara disebabkan kegunaannya yang meluas dalam kehidupan sehari-hari. Jika dilihat, penanaman getah ini sebenarnya masih perlu kepada penambahbaikan demi masa depan industri getah negara.Bertitik tolak dari itu, Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) telah ditubuhkan pada 20 September 1969. Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menigkatkan taraf serta kualiti pekebun kecil getah supaya mencapai piawaian antarabangsa serta memastikan keberlansungan pasaran getah negara.

Antara peranan terbesar MARDEC dalam industri ini adalah pemasaran getah-getah tempatan ke serata pasaran. Hal ini selaras dengan tujuan utama penubuhan badan ini. Pada awal penubuhannya, MARDEC telah membina tiga buah kilang pemprosesan yang terletak di Meru (Selangor), Rantau (Negeri Sembilan), dan di Grisek (Johor). Namun begitu, dalam masa beberapa tahun sahaja, MARDEC telah berjaya membuka lebih banyak kilang di seluruh Malaysia. Untuk memastikan kadar penjualan getah tetap stabil dari semasa ke semasa, badan ini telah berusaha untuk bekerjasama dengan peladang-peladang di seluruh pelosok tanah air serta menubuhkan anak-anak syarikat bagi memperluas lagi industri berasaskan getah.

MARDEC juga berperanan dalam meningkatkan mutu serta kualiti getah tempatan. Penyelidikan serta penambahbaikan kualiti serta struktur getah tulen adalah sesuatu yang diperlukan demi untuk menyaingi kualiti getah sintetik yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengusaha kilang kerana mutunya yang menyamai getah tulen dan yang lebih penting jauh lebih murah. Oleh itu, MARDEC telah berganding bahu bersama-sama dengan RISDA untuk menjalankan penyelidikan kualiti getah dengan menubuhkan Pusat Penyelidikan Getah Malaysia(PPGM). Atas pelbagai usaha, MARDEC telah muncul sebagai pengeluar Getah Mutu Malaysia atau Standard Malaysian Rubber (SMR). Dengan adanya SMR, kerajaan dapat memastikan hanya hanya getah berkualiti serta bermutu tinggi sahaja yang dieksport.

Melalui pelbagai usaha seperti yang telah dinyatakan, Malaysia telah muncul sebagai salah sebuah negara pengeksport getah serta bersama-sama beberapa buah syarikat pengeksport getah luar negara terutamanya negara-negara serantau. Bagai aur ditanam betung yang tumbuh, MARDEC telah dianugerahkan dengan sijil pengiktirafan ISO 9001 kerana mencapai kedudukan sebagai pengeluar serta pemborong utama perusahaan getah kecil-kecilan di dunia. Buat masa sekarang, dianggarkan MARDEC telah mengeluarkan sebanyak dua ratus lima puluh ribu juta tan getah SMR, susu getah(lateks) serta getah khas yang lain. Pencapaian ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya para pekebun getah baik secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran.


Kini,kita sebagai rakyat Malaysia khususnya dari golongan pekebun getah patut berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh MARDEC. Jika dahulu, mereka seringkali berdepan dengan masalah mendapatkan tempat pasaran, harga geta yang tidak menentu dan lain-lain lagi. Namun, dengan adanya MARDEC pekebun-pekebun kecil dapat menarik nafas lega. MARDEC telah memberikan perkhidmatan membeli secara terus kepada lebih kurang seratus ribu orang pekebun kecil getah. Secara tidak lansung, pembelian getah dalam bentuk cecair atau beku memberi banyak faedah kepada pekebun getah. Hal ini adalah disebabkan tawaran harga belian yang berpatutan serta kompetatif harga getah oleh MARDEC.

Penubuhan MARDEC juga bolehlah di andaikan seperti pucuk dicita ulam mendatang kerana bertepatan dengan dasar kerajaan iaitu Dasar Ekonomi Baru(DEB). Ini dapat di buktikan dengan pertambahan penyertaan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan getah. Nasib pekebun-pekebun kecil getah juga semakin terbela kerana harga getah semakin terkawal serta susah untuk jatuh di pasaran. Boleh dikatakan, hampir enam puluh lima peratus daripada jumlah pekebun getah semakin terbela dan mendapat pelbagai kemudahan.

Masihkah kita ingat akan misi Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan negara? Penglibatan MARDEC dalam perusahaan getah sedikit sebanyak telah membuatkan impian Perdana Menteri kelima kita menjadi kenyataan. Pelebaran sayap badan ini dengan membuka cawangan-cawangan di rantau Asia Tenggara membolehkan industri getah negara semakin berkembang serta membuatkan ekonomi Malaysia bertambah kuat serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara yang jauh lebih kedepan dalam hal sebegini seperti Thailand dan China.

Tidak dapat dinafikan lagi yang MARDEC memainkan peranan besar dalam memangkin industri berasaskan getah di negara kita. Hari ini, MARDEC tetap menjadi nadi penggerak pemprosesan, pemasaran, jualan dan eksport getah yang mengutamakan kualiti serta kepuasan pelanggan di serata dunia. Malah, peranan MARDEC sebagai “duta kecil” negara dalam memperkenalkan keupayaan Malaysia dalam bidang ini seterusnya menarik lebih ramai lagi pelabur luar ke negara kita tidak boleh dipersoalkan
lagi oleh semua warga Malaysia. Kesimpulannya, kewujudan MARDEC diharap dapat meneruskan status Malaysia sebagai negara yang berpotensi dalam industri getah bahkan menjadi contoh kepada negara yang baru berjinak-jinak dalam bidang perindustrian ini.


Oleh:


NUR AZAM
…………………………………………
(Nur Azam bin Mohd Napis @ NA_SR)
5 Ibnu Sina, SMK Tuanku Muhammad, K. Pilah.

Sunday, June 7, 2009

Dilema Kesufian dan wahdatul wujud



Jika kita selak kembali buku-buku sejarah terutamanya buku teks, dalam bab Penyebaran Islam Ke Asia Tenggara, kita akan dapati kebanyakan tokoh penyebar Islam yg datang ke bumi Nusantara ini adalah ulama'2 sufi.

Ulama' ini telah berjaya memikat hati para penduduk Nusantara utk memeluk Islam kerana kebijaksanaan mereka mengasimilasikan budaya tempatan dengan Islam. Dan kesannya dapat dilihat sampai sekarang terutamanya dalam amalan seperti kenduri selepas kematian, upacara kelahiran, berendoi, perkahwinan dan lain2.

Antara tokoh-tokoh penyebar Islam tersebut ialah, Syeikh Abdul Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin Ar-Raniri, Wali Songo, Para Habaib dan Syarif dari Tanah Arab terutamanya Hadaramaut dan dari India. Walaupun begitu, berlaku juga perselisihan pendapat dikalangan para penyebar Islam ini. Sebagai contoh, perselisihan antara Ulama' besar Acheh Syeikh Hamzah Fansuri & Syeikh Shamsuddin Al-Sumaterani dengan Syeikh Nuruddin Ar-Raniri.

Perkara yang diperdebatkan ialah berkenaan pegangan tasawuf Syeikh Hamzah & Syeikh Shamsuddin yg dikatakan terpesong dari landasan Ahlus-Sunnah Wal Jamaah. yeikh Nuruddin menuduh ajaran tasawuf Syeikh Hamzah merupah ajaran sesat lagi menyesatkan dan patut ditentang habis-habisan. Bertitik-tolak dari itu, berlakulah permusuhan antara pengikut Syeikh Hamzah dan Syeikh Nuruddin sedangkan perselisihan ini pada mulanya berlaku antara 2 tokoh tersebut. Maka banyaklah kitab-kitab karangan Syeikh Hamzah dibakar dan ini menyebabkan beratus-ratus karya keilmuan Islam terhapus sama sekali...

Punca sebenar perselisihan adalah ketidakfahaman konsep ajaran tasawuf yang dibawa oleh Syeikh Hamzah Fansuri yg terkenal dgn jolokan ajaran "WAHDATUL WUJUD". Konsep WAHDATUL WUJUD telah disalah fahami oleh segelintir masyarakat lantaran kurangnya ilmu mereka dalam mentafsir intipati ajaran ini. Pada hemat saya, ajaran ini menekankan tentang kepentingan menerapkan Jiwa Tauhid yang sebenar-benarnya dalam diri seorang manusia agar tidak tersesat dari landasan agama. Seorang yang mencapai makam ini juga dikatakan telah mencapai tahap Iman Haqiqat(semua perkara yg dipandang pada hakikatnya hanya Allah sahaja)sumber-Buku teks pendidikan Islam tingkatan 5.

Disini saya sertakan karya Syeikh Hamzah Fansuri yang popular iaitu Syair Perahu Dagang
yang mengisahkan jalan sebenar yang perlu ditempuh sebelum mengadap Allah Azza wa Jalla di Mahkamah Pengadilan yang Maha Adil nanti. Diharap, segala kesulitan yg dihadapi ketika membaca, pohonkan Allah supaya membuka pintu hati untuk memberi kefahaman yg sebenar. Insya Allahu Taala...

Syair Perahu
Karya Hamzah Fansuri


Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i'tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.

Perteguh jua alat perahumu,
hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ,
supaya laju perahumu itu

Sudahlah hasil kayu dan ayar,
angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir,
niscaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
muaranya sempit tempatmu lalu,
banyaklah di sana ikan dan hiu,
menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikanpun banyak,
di sanalah perahu karam dan rusak,
karangnya tajam seperti tombak
ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba'id.

Baiklah perahu engkau perteguh,
hasilkan pendapat dengan tali sauh,
anginnya keras ombaknya cabuh,
pulaunya jauh tempat berlabuh.

Lengkapkan pendarat dan tali sauh,
derasmu banyak bertemu musuh,
selebu rencam ombaknya cabuh,
La ilaha illallahu akan tali yang teguh.

Barang siapa bergantung di situ,
teduhlah selebu yang rencam itu
pedoman betuli perahumu laju,
selamat engkau ke pulau itu.

La ilaha illallahu jua yang engkau ikut,
di laut keras dan topan ribut,
hiu dan paus di belakang menurut,
pertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Silan terlalu dalam,
di sanalah perahu rusak dan karam,
sungguhpun banyak di sana menyelam,
larang mendapat permata nilam.

Laut Silan wahid al kahhar,
riaknya rencam ombaknya besar,
anginnya songsongan membelok sengkar
perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah,
ke sanalah kita semuanya berpindah,
hasilkan bekal kayu dan juadah
selamatlah engkau sempurna musyahadah.

Silan itu ombaknya kisah,
banyaklah akan ke sana berpindah,
topan dan ribut terlalu 'azamah,
perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut Kulzum terlalu dalam,
ombaknya muhit pada sekalian alam
banyaklah di sana rusak dan karam,
perbaiki na'am, siang dan malam.

Ingati sungguh siang dan malam,
lautnya deras bertambah dalam,
anginpun keras, ombaknya rencam,
ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,
angin yang keras menjadi teduh
tambahan selalu tetap yang cabuh
selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah ahad dengan masanya,
datanglah angin dengan paksanya,
belajar perahu sidang budimannya,
berlayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,
ilmu Allah akan [dayungnya]
iman Allah nama kemudinya,
"yakin akan Allah" nama pawangnya.

"Taharat dan istinja'" nama lantainya,
"kufur dan masiat" air ruangnya,
tawakkul akan Allah jurubatunya
tauhid itu akan sauhnya.

Salat akan nabi tali bubutannya,
istigfar Allah akan layarnya,
"Allahu Akbar" nama anginnya,
subhan Allah akan lajunya.

"Wallahu a'lam" nama rantaunya,
"iradat Allah" nama bandarnya,
"kudrat Allah" nama labuhannya,
"surga jannat an naim nama negerinya.

Karangan ini suatu madah,
mengarangkan syair tempat berpindah,
di dalam dunia janganlah tam'ah,
di dalam kubur berkhalwat sudah.

Kenali dirimu di dalam kubur,
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur.

Di dalam dunia banyaklah mamang,
ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang,
itulah membawa badan terbuang.

Tuntuti ilmu jangan kepalang,
di dalam kubur terbaring seorang,
Munkar wa Nakir ke sana datang,
menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.

Tongkatnya lekat tiada terhisab,
badanmu remuk siksa dan azab,
akalmu itu hilang dan lenyap,

Munkar wa Nakir bukan kepalang,
suaranya merdu bertambah garang,
tongkatnya besar terlalu panjang,
cabuknya banyak tiada terbilang.

Kenali dirimu, hai anak dagang!
di balik papan tidur telentang,
kelam dan dingin bukan kepalang,
dengan siapa lawan berbincang?

La ilaha illallahu itulah firman,
Tuhan itulah pergantungan alam sekalian,
iman tersurat pada hati insap,
siang dan malam jangan dilalaikan.

La ilaha illallahu itu terlalu nyata,
tauhid ma'rifat semata-mata,
memandang yang gaib semuanya rata,
lenyapkan ke sana sekalian kita.

La ilaha illallahu itu janganlah kaupermudah-mudah,
sekalian makhluk ke sana berpindah,
da'im dan ka'im jangan berubah,
khalak di sana dengan La ilaha illallahu.

La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan,
siang dan malam jangan kau sunyikan,
selama hidup juga engkau pakaikan,
Allah dan rasul juga yang menyampaikan.

La ilaha illallahu itu kata yang teguh,
memadamkan cahaya sekalian rusuh,
jin dan syaitan sekalian musuh,
hendak membawa dia bersungguh-sungguh.

La ilaha illallahu itu kesudahan kata,
tauhid ma'rifat semata-mata.
hapuskan hendak sekalian perkara,
hamba dan Tuhan tiada berbeda.

La ilaha illallahu itu tempat mengintai,
medan yang kadim tempat berdamai,
wujud Allah terlalu bitai,
siang dan malam jangan bercerai.

La ilaha illallahu itu tempat musyahadah,
menyatakan tauhid jangan berubah,
sempurnalah jalan iman yang mudah,
pertemuan Tuhan terlalu susah.