Sunday, June 21, 2009

Peranan Serta Sumbangan MARDEC Di Malaysia




Apabila tanaman getah dibawa masuk ke Tanah Melayu, seratus sembilan tahun dahulu, getah mula ditanam secara meluas di seluruh negara. Tanaman ini mula menjadi sumber pendapatan utama negara disebabkan kegunaannya yang meluas dalam kehidupan sehari-hari. Jika dilihat, penanaman getah ini sebenarnya masih perlu kepada penambahbaikan demi masa depan industri getah negara.Bertitik tolak dari itu, Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) telah ditubuhkan pada 20 September 1969. Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menigkatkan taraf serta kualiti pekebun kecil getah supaya mencapai piawaian antarabangsa serta memastikan keberlansungan pasaran getah negara.

Antara peranan terbesar MARDEC dalam industri ini adalah pemasaran getah-getah tempatan ke serata pasaran. Hal ini selaras dengan tujuan utama penubuhan badan ini. Pada awal penubuhannya, MARDEC telah membina tiga buah kilang pemprosesan yang terletak di Meru (Selangor), Rantau (Negeri Sembilan), dan di Grisek (Johor). Namun begitu, dalam masa beberapa tahun sahaja, MARDEC telah berjaya membuka lebih banyak kilang di seluruh Malaysia. Untuk memastikan kadar penjualan getah tetap stabil dari semasa ke semasa, badan ini telah berusaha untuk bekerjasama dengan peladang-peladang di seluruh pelosok tanah air serta menubuhkan anak-anak syarikat bagi memperluas lagi industri berasaskan getah.

MARDEC juga berperanan dalam meningkatkan mutu serta kualiti getah tempatan. Penyelidikan serta penambahbaikan kualiti serta struktur getah tulen adalah sesuatu yang diperlukan demi untuk menyaingi kualiti getah sintetik yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengusaha kilang kerana mutunya yang menyamai getah tulen dan yang lebih penting jauh lebih murah. Oleh itu, MARDEC telah berganding bahu bersama-sama dengan RISDA untuk menjalankan penyelidikan kualiti getah dengan menubuhkan Pusat Penyelidikan Getah Malaysia(PPGM). Atas pelbagai usaha, MARDEC telah muncul sebagai pengeluar Getah Mutu Malaysia atau Standard Malaysian Rubber (SMR). Dengan adanya SMR, kerajaan dapat memastikan hanya hanya getah berkualiti serta bermutu tinggi sahaja yang dieksport.

Melalui pelbagai usaha seperti yang telah dinyatakan, Malaysia telah muncul sebagai salah sebuah negara pengeksport getah serta bersama-sama beberapa buah syarikat pengeksport getah luar negara terutamanya negara-negara serantau. Bagai aur ditanam betung yang tumbuh, MARDEC telah dianugerahkan dengan sijil pengiktirafan ISO 9001 kerana mencapai kedudukan sebagai pengeluar serta pemborong utama perusahaan getah kecil-kecilan di dunia. Buat masa sekarang, dianggarkan MARDEC telah mengeluarkan sebanyak dua ratus lima puluh ribu juta tan getah SMR, susu getah(lateks) serta getah khas yang lain. Pencapaian ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya para pekebun getah baik secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran.


Kini,kita sebagai rakyat Malaysia khususnya dari golongan pekebun getah patut berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh MARDEC. Jika dahulu, mereka seringkali berdepan dengan masalah mendapatkan tempat pasaran, harga geta yang tidak menentu dan lain-lain lagi. Namun, dengan adanya MARDEC pekebun-pekebun kecil dapat menarik nafas lega. MARDEC telah memberikan perkhidmatan membeli secara terus kepada lebih kurang seratus ribu orang pekebun kecil getah. Secara tidak lansung, pembelian getah dalam bentuk cecair atau beku memberi banyak faedah kepada pekebun getah. Hal ini adalah disebabkan tawaran harga belian yang berpatutan serta kompetatif harga getah oleh MARDEC.

Penubuhan MARDEC juga bolehlah di andaikan seperti pucuk dicita ulam mendatang kerana bertepatan dengan dasar kerajaan iaitu Dasar Ekonomi Baru(DEB). Ini dapat di buktikan dengan pertambahan penyertaan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan getah. Nasib pekebun-pekebun kecil getah juga semakin terbela kerana harga getah semakin terkawal serta susah untuk jatuh di pasaran. Boleh dikatakan, hampir enam puluh lima peratus daripada jumlah pekebun getah semakin terbela dan mendapat pelbagai kemudahan.

Masihkah kita ingat akan misi Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan negara? Penglibatan MARDEC dalam perusahaan getah sedikit sebanyak telah membuatkan impian Perdana Menteri kelima kita menjadi kenyataan. Pelebaran sayap badan ini dengan membuka cawangan-cawangan di rantau Asia Tenggara membolehkan industri getah negara semakin berkembang serta membuatkan ekonomi Malaysia bertambah kuat serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara yang jauh lebih kedepan dalam hal sebegini seperti Thailand dan China.

Tidak dapat dinafikan lagi yang MARDEC memainkan peranan besar dalam memangkin industri berasaskan getah di negara kita. Hari ini, MARDEC tetap menjadi nadi penggerak pemprosesan, pemasaran, jualan dan eksport getah yang mengutamakan kualiti serta kepuasan pelanggan di serata dunia. Malah, peranan MARDEC sebagai “duta kecil” negara dalam memperkenalkan keupayaan Malaysia dalam bidang ini seterusnya menarik lebih ramai lagi pelabur luar ke negara kita tidak boleh dipersoalkan
lagi oleh semua warga Malaysia. Kesimpulannya, kewujudan MARDEC diharap dapat meneruskan status Malaysia sebagai negara yang berpotensi dalam industri getah bahkan menjadi contoh kepada negara yang baru berjinak-jinak dalam bidang perindustrian ini.


Oleh:


NUR AZAM
…………………………………………
(Nur Azam bin Mohd Napis @ NA_SR)
5 Ibnu Sina, SMK Tuanku Muhammad, K. Pilah.

1 comment:

  1. wah lama tak kemari
    dah berubah timplet
    bagus neh
    cuma gambar header menutup gambar header default
    tapi tak apalah

    ReplyDelete